MENYERU berbuat kebaikan dan mencegah melakukan kemungkaran adalah tugas mulia dan penting bagi Muslimin. Hal ini kerana perbuatan menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah perintah Allah mesti dilaksanakan umat Islam.Dalam hal ini, Nabi Muhammad pernah bersabda daripada Saied Al-Bukhari, katanya: “Saya mendengar Rasulullah bersabda bermaksud: Barang siapa antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya (mencegahnya) dengan tangannya dan jika dia tidak berkuasa, maka dengan lidahnya dan jika dia tidak berkuasa, maka dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim).
Islam mementingkan kemaslahatan umatnya, menjaga keharmonian dalam kehidupan beragama dan bermasyarakat. Paling utama menjaga akidah umatnya supaya sentiasa berada pada landasan yang betul mengikut ajaran Islam. Itulah yang sepatutnya dilakukan jika mahu diri, keluarga, negara dan agama kita selamat serta dilindungi Allah.
Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihyaau' Ulumit Dinn menyatakan adalah wajib bagi orang Islam melaksanakan amal makruf dan nahi mungkar.
Pertama pada diri sendiri dengan membiasakan melakukan pekerjaan yang wajib dan meninggalkan yang haram.
Selepas itu, perintahkan pula keluarga berbuat demikian. Kemudian, saudara sendiri, penduduk kampung dan daerah, seterusnya seluruh masyarakat.
Allah berfirman bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu satu puak menyeru berdakwah kepada kebajikan mengembangkan Islam dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah, buruk dan keji. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran, ayat 104)
Tugas menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran tidak mudah. Ia berat dan memerlukan kepada hikmah, perlu kepada sifat sabar dan tahan diri menerima cemuhan dan cacian. Inilah perjalanan nabi, rasul, wali, salihin, orang beriman dan berjiwa Islam yang mahu menegakkan kebenaran di bumi ini.
Allah berfirman bermaksud: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”
(Surah Luqman, ayat 17)
copy dari BeritaHarian_31Mac2005
No comments:
Post a Comment